Jumaat, 23 Oktober 2009

Budak 6 tahun ditemui lemas


ANGGOTA penyelamat mencari mayat Mohd. Afuza yang hilang sebelum ditemui terapung di Sungai Kelantan, Tumpat semalam.


TUMPAT - Seorang kanak-kanak prasekolah, Mohd. Afuza Haikal, 6, ditemui mati lemas semalam setelah dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kelantan ketika bermain di Jeti Kampung Laut dekat sini petang kelmarin.

Mayatnya ditemui terapung di tengah sungai lengkap berpakaian kira-kira dua kilometer dari jeti tersebut oleh anggota penyelamat.

Menurut bapa mangsa, Abdul Rahim Sulaiman, 48, anaknya itu tidak pernah ke jeti tersebut apatah lagi bermain di situ.

"Saya tidak tahu kenapa dia pergi situ kerana dia seorang yang takut air," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, anak kelima daripada enam adik-beradik itu pulang dari sekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Laut kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut.

"Saya yang menghantar dan menjemputnya pulang dan semalam selepas pulang dari sekolah, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, dia keluar bermain dengan menaiki basikal.

"Selepas lebih sejam tak balik, isteri saya menyuruh seorang lagi anak mencarinya namun gagal menemuinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

sumber~kosmo

[ Baca Selengkapnya... ]